Apalah nak jadi dengan nasib saya, terumbang-ambing seorang diri, memujuk hati yang sedih dan duka lara. Tiada siapa yang mendengar akan rintihan saya. Tiada siapa. Kepada siapa patut saya mengadu? Ntah lah, insan yang paling saya harap telah jauh berubah. Terasa badan ini tiada lagi terdaya kerana semangat yang ada semakin hilang satu persatu. Nak mengadu pada angin, nak ke angin dengar. Luaran memang nampak ceria dan gembira tapi gelodak di jiwa ini hanya Allah saja yang tahu. Telah saya adukan kepada Nya, Alhamdulillah ada la terubat pekung di dada ni.
Minggu yang diharapkan akan bahagia tiba-tiba hancur berderai. Malam tadi kami bertengkar, perkaranya-perempuan itu. Saya amat-amat tersentuh pada ketika itu dan tidak mampu mengawal perasaan. Tanpa saya sedar saya telah meninggikan suara pada Suami. Ya Allah, apa yang telah saya buat. Kepada Suami, saya memohon ampun dari hujung rambut ke hujung kaki. Saya amat-amat menyesal. Saya umpama hilang pedoman. Saya memahami situasi Suami dan saya cuba sedaya upaya untuk mengubat hatinya namun hatinya bukan untuk saya lagi, hatinya hanya pada perempuan itu. Suami masih berharap pada perempuan itu. Katanya seperti ada yang belum selesai. Isteri mana yang tidak tersentuh hati apabila suami bercerita mengenai hati dan perasaannya dengan orang lain. Telah saya cuba untuk menenangkan hati ini ketika itu, tapi gelodak jiwa terlampau bergelodak sehingga tidak dapat dikawal. Maafkan aku wahai suami ku, bukan ku tak sayang mahupun tidak ada sekelumit niat untuk menyakitimu. Ku memahami mu seadanya namun adakalanya tertewas dengan perasaan ini yang telah luka bernanah. Ku pohon cuba fahami situasi ku ini seperti mana yang pernah selalu kau lakukan dahulu untuk ku, seperti mana aku yang sentiasa cuba memahami diri mu.
Ntah lah, andai kata Suami berada di tempat saya 6 tahun dulu, mungkin lagi teruk keadaan nya sekarang. Sudahlah saya melihat dengan mata kepala sendiri akan perlakuan yang paling jijik di antara 'F' dengan pekerjanya. Tidak cukup dengan itu, saya ditinggalkan sendirian di lebuhraya yang gelap tanpa alasan. Terkontang-kanting balik berjalan kaki sendiri dek kerana takut untuk menumpang sesiapa. Saat itu, saya ibarat sampah, tiada harga, dibuang sesuka hati. Pun begitu saya masih sayang pada 'F'.
Selepas kejadian itu, saya cuba hubungi 'F' tapi langsung tidak diendahkan. Hari, minggu, bulan berganti ke tahun hati ini masih tetap padanya masih kuat mencintainya. Auranya terlalu kuat dengan saya. Saya tahu dia masih sayangkan saya dan mempunyai sebab melakukan perkara itu. Hati ini selalu menidakkan perkara yang tidak baik tentang dirinya. Perasaan saya selalu benar mengenai dirinya. Terlampau banyak buktinya pada waktu itu. Pada saya, hanya dia untuk saya dan tiada insan lain yang sama dengan 'F'. Syukur Alhamdulillah kerana dek kesibukan kerja akhirnya aku bebas dari perasaan itu dan masih mampu berfikir betapa saya telah mensia-siakan 5 tahun semata-mata hidup dalam fantasi. Bila diingatkan balik, adakah perpisahan ketika itu sesuatu yang belum selesai? Mungkin ya, kerana saya telah dibuang begitu sahaja tanpa mendapat sebarang penjelasannya sehingga sekarang namun saya doakan semoga 'F' bahagia walau di mana sahaja dia berada. Life must go on kan?
Masihkah ada bahagia untuk saya di luar sana? Setiap hari yang dilalui terlampau berliku, penuh dengan batu kerikir yang amat tajam, semakin hari semakin melarat lukanya. Saya sedar apa yang saya alami adalah balasan untuk apa yang telah saya lakukan dulu. Ya, saya sedar betapa berdosanya saya, bukan setakat dosa kecil tapi seberat-berat dan sebesar-besar dosa yang ada di muka bumi ini - berzina dan menggugurkan kandungan. Ya Allah, betapa hinanya hamba Mu ini. Sesungguhnya saya telah insaf dan memohon taubat daripada Mu dan redha setiap ujian-ujian Mu ini, namun saya hanya insan biasa, lemah segala-galanya. Namun Insya Allah akan saya gagahkan juga demi memohon keampunan dari Mu.
Ya Allah, berikan lah kekuatan buat diri ini untuk menempuh hari-hari yang mendatang. Kuatkan lah iman di dada ini, cekal dan tabahkanlah hati yang kerdil ini. Sesungguhnya aku tiada tempat mengadu melainkan hanya pada Mu.
Biarlah saya rawat luka ini sendiri, seandainya insan yang saya amat harapkan tidak sudi lagi untuk mambantu.
Wassalam
No comments:
Post a Comment