Monday, 4 April 2011

Demi Cinta, Kasih & Sayang

Sejak peristiwa kami sekeluarga terserempak dengan 'buah hati, pengarang jantung' suami sedang berdating di Burger King, Alamanda, suami menjadi tidak keruan. Seluruh hidupnya kucar-kacir seolah-olah tiada kesinambungan. Setiap apa yang dilakukan, setiap detik yang terisi hanya meratap hiba akan perlakuan kekasih hati yang disanjung-sajung telah mencurangi nya. Saya sedih melihat suami seperti hilang arah. Tidak bermaya, jiwa kosong. Saban hari saya cuba membuka mata suami akan realiti itu dan hidup perlu diteruskan namun pandangan sepi balasannya. Ya, saya cuba sedaya upaya untuk membantu suami untuk mengubat lukanya. Dalam hal ini, tuntutan kesabaran daripada saya amat diperlukan.


Saya mengaku bahawa saya sangat kecewa, sedih dan berkecil hati dengan tindakan suami yang menduakan saya. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang telah dilakukan oleh suami dengan perempuan itu dan tindakan suami melebihkan anak perempuan itu daripada anak-anaknya sendiri. Ya, saya sedar diri saya siapa dihati suami, umpama melukut di tepi gantang. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kepedihan dalam hati ini hanya Allah sahaja yang tahu. Saya tidak menuntut pembalasan, cukup la suami kembali ke pangkuan keluarga dan tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada Yang Esa dan keluarga. Dan oleh sebab kasih sayang saya kepada suami yang tidak berbelah bagi maka saya masih di sini, sedaya upaya memberikan sokongan kepada suami supaya dia sentiasa tabah dan kembali menjadi MOHD DIAN BIN NAIS yang saya kenali dulu: periang, ceria, tidak pernah kenal erti putus asa, bertanggungjawab, memahami dan tidak gentar dalam membuat sebarang keputusan.


Saya faham masa yang diambil untuk melupakan seseorang yang dikasihi dan dipercayai adalah terlalu lama. Saya pernah mengalaminya dahulu dan saya faham akan keperitannya. Saat itu, kita perlu kuat dan bulatkan tekad untuk melupakannya walaupun memori-memori indah bersama akan nakal bermain-main di ruangan minda. Apa pun, kewarasan akal dan minda perlu memainkan peranan di dalam menangkis segala perasaan sayang, rindu, kasih dan memori indah yang akan sentiasa berlegar-legar dan menghanyutkan kita. Walau apa pun terjadi, hidup perlu diteruskan. Dan di kala ini, segala bentuk rasional saya suakan kepada suami supaya tiada harapan ditaruhkan kepada perempuan itu. Perempuan yang telah jauh menghanyutkan dia ke lembah maksiat, ke dunia yang mana kami sebagai keluarga ditolak bagai tiada hati dan perasaan.


Mungkin saya bodoh mengharapkan kasih sayang suami kembali seperti sedia kala sedangkan di hatinya telah mempunyai penghuni, penghuni yang telah menganiayanya. Tapi demi cinta dan sayang padanya saya akan tetap berada di sampingnya walaupun apa jua halangan melainkan seandainya saya sudah tidak diperlukan lagi maka saya akan redha. Sesungguhnya hati ini hanya milik suami seorang.


Buat suami, saya amat cinta, kasih dan sayangkan kamu dan segala keperitan mu adalah keperitan saya jua.




Wassalam

No comments:

Post a Comment