Situasi yang sedang saya hadapi sekarang mengimbau kembali memori perkenalan dengan Suami. Segala ketidakjujuran oleh Suami adakala menjadikan saya cukup terkilan dan amat tersentuh hati. Masakan tidak, segala pengorbanan selama hampir 6 tahun mengenalinya seperti tidak dihargai, dicampak luput dalam pusat pelupusan sampah. Lebih haru lagi, ketidakjujuran oleh Suami ini berlaku di hadapan mata sendiri selama setahun sebelum dia membuka mulut dan mengaku akan perlakuan nya itu. Lebih ironi nya, perlakuan itu adalah bersama seorang wanita yang sudah bercerai dan mempunyai anak seorang yang bekerja di bawah satu bumbung dengan saya. Ya Allah...besarnya dugaan Mu ini Ya Allah. Aku memohon kekuatan dari Mu Ya Allah, kuatkan la semangat ku dalam menghadapi kehidupan yang telah tersurat bagi ku ini Ya Allah.
Imbauan memori jelas terpancar di dalam kotak ingatan. Perkenalan bermula sewaktu saya dan Suami sama-sama mengikuti kursus yang agak lama jangka masanya. Tidak diduga sama sekali bahawa saya akan bertemu jodoh di kala itu. Suami amat dikenali ramai sepanjang kursus. Aktif dan ligat juga perlakuannya. Comel pun ye jugak. Bermula dengan perasaan benci langsung bertukar menjadi suka dan seterusnya sayang. Tidak diduga saya tak bertepuk sebelah tangan. Kami mempunyai minat yang sama. Kami mula duduk bersama di dalam kelas dan keluar makan berdua. Outing pun ke tempat yang jauh-jauh untuk mengelakkan skandal di kalangan peserta kursus yang lain.
Kursus makin hampir ke penamat. Dan pada masa itu jugalah saya mendapat tahu bahawa Suami adalah tunangan orang. Lemah longlai dibuatnya. Terdetik di hati untuk berlalu pergi tapi hati dah terlampau sayang, tidak mampu saya laksanakan. Penjelasannya diterima. Tunang nya itu merupakan bos di salah sebuah tempat kerjanya terdahulu namun hatinya belum terbuka untuk berkahwin. Desakan keluarga memaksanya. Suami telah menyatakan hasrat untuk putus tunang berkali-kali tetapi tidak diendahkan oleh keluarga. Alasannya pertunangan telah lama dan asyik bertangguh-tangguh jadi jangan malukan keluarga lagi. Tarikh perkahwinannya telah pun ditetapkan.
Perhubungan dengan Suami diteruskan juga selepas kami habis berkursus. Walaupun tempat kerja berlainan, namun kami tetap berjumpa, walaupun hakikatnya Suami bakal menjadi milik orang lain. Sahabat-sahabat yang mengetahui akan perhubungan ini menasihatkan saya agar berlalu pergi, supaya elakkan diri daripada terluka. Namun dek kerana menurut kata hati, saya benam semua nasihat-nasihat itu.
Kepada Sahabat-Sahabat yang menyayangi diri ini, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Terima kasih kerana sudi menjadi teman tatkala kesusahan, terima kasih banyak-banyak semoga Allah melimpahkan rahmat buat kalian semua.
Kepada Suami, kejujuran dan kesetiaan mu di kala itu amat saya hargai. Tiada lain yang dipinta melainkan sebuah ikatan yang suci dan saling memahami erti kejujuran dan kesetiaan di dalam kehidapan kita bersama.
Wassalam
No comments:
Post a Comment