Thursday, 31 March 2011

Pada Syurga Di Wajah Mu

Sedang saya sibuk melaksanakan tugasan-tugasan kerja, tiba-tiba satu kejutan yang tidak disangka menerjah ke dalam ruangan pejabat. Seseorang telah menghadiahkan sepotong tiramisu, kek kegemaran saya. Pengirimnya pula tidak diketahui. 'Wrapping' nye sangat cantik dengan riben warna merah jambu, warna kesukaan saya. Siapakah insan ini? Kan bagus seandainya tiramisu ini ialah daripada suami. Tapi tak ape lah, yang penting, segalanya telah terungkai, terbentang luas realiti di hadapan mata. Lantas saya berikan kek itu kepada staf-staf memandangkan saya tahu batas-batas saya sebagai seorang isteri, ibu dan wanita yang telah berkahwin yang masih mempunyai harga diri serta mengendong bersama maruah suami dan keluarga di mana saja saya berada.

Dan sewaktu dalam perjalanan ke pejabat, sebuah lagu diperdengarkan membuatkan saya betul-betul sebak. Tiba-tiba saya terfikir, seandainya suami betul-betul menghayati bait-bait lagu Nash "Pada Syurga di Wajah Mu" dan menujukan ia kepada saya, saat itu lah yang akan menjadi sejarah yang paling manis di dalam hidup saya. Tapi saya tahu perkara ini tidak akan terjadi. Sebagai pengubat duka di hati, saya titipkan lirik lagu itu untuk ingatan saya.

Tuhan sengaja menduga kita
Di mana kesabaran manusia
Engkau isteri yang ku sanjungi
Lambang semangat cinta dunia

Pasti engkau terkenangkan
Peristiwa semalam
Saatku menggadaikan cinta
Pada onak dan duri asmara

Entah di mana akal fikiran
Hingga sesat di jalan yang terang
Ini suratan yang diberikan
Menguji kekuatan jiwa

Waktu engkau ku lupakan
Dalam kemarau panjang
Betapa hatimu rela
Demi melihatku bahagia

Kau menahan segala siksa
Di hati hanya berdoa
Mengharapkan aku kan pulang
Agar terang cahaya

Ku yang hanyut di arus dosa
Di laut ribut melanda
Dan berenang ke pelabuhan
Kasih sayang sebenar

Air mata cinta darimu
Ku menjadi rindu
Pada syurga di wajahmu
Tiada tanda kau berdosa

Biar aku cium tangan mu
Membasuh lumpur di muka
Ku yang hanyut berarus dosa
Di laut ribut melanda

Kau menahan segala seksa
Di hati hanya berdoa
Ku berenang ke pelabuhan
Mencari cinta sebenar

Kan ku tahan apa hukuman
Di hati hanya berdoa
Biar aku cium tangan mu
Sekali lagi bersama

Bukan sekali jalan berduri
Hanya tuhan yang pasti
Mengerti...



Wassalam

Tuesday, 29 March 2011

Sekadar Luahan Hati.....

Sebenarnya nukilan ini telah saya coretkan di telefon bimbit saya di kala hati ini terlampau sarat dengan kesedihan & kepiluan. Ya, saya x pandai bermadah serta mengalunkan puisi-puisi indah namun saya juga punya hati & perasaan. Saya salinkan kembali nukilan tersebut sekadar untuk renungan saya di kemudian hari:

Sedih?
Rasa sedih sangat diperlakukan macam sampah, tak dihargai
Sekurang-kurang sampah di kala ini punya nilai dan harga
Tidak dibuang sewenang-wenang

Aku?
Masih di sini, masih setia menagih cinta
Namun ku sedari aku tiada nilai di hati suami walau sekelumit
Tempat ku di aras paling rendah di dalam sanubarinya
Insan lain yang dilihat lebih istimewa, ditatang bagai minyak yang penuh
Diangkat ke arash paling tinggi dalam jiwanya
Menggantikan sepenuhnya tempat ku di setiap ruang hidupnya

Menyesal?
Aku tidak pernah menyesal dengan kehidupan ku pilih
Aku cinta, hormat dan sanjung suami ku
Aku kasih dan sayang anak ku
Dan yang paling penting aku juga bangga akan diriku
Masih mampu bertahan sehingga saat ini

Terkilan?
Teramat sangat
Suami yang dicintai lebih menghargai insan lain
Lebih menyanjung pengorbanan dan berbangga
Dengan lakonan air mata yang dipersembah
Waima pengorbanan ku mungkin tiada langsung
Tiada sekelumit pun terkesan di hati suami

Kecewa?
Sudah semestinya
Peristiwa lama masih belum cukup
Belum masak untuk dijadikan iktibar
Dan akan sentiasa berulang-ulang
Tanpa ku tahu kesudahannya

Bahagia?
Ya, memang aku bahagia
Aku akan lebih bahagia seandainya tiada orang ketiga
Tiada pelakon air mata yang menyelinap dalam kehidupan kami
Meyulam kasih, mengagungkan bait-bait sayang bersama suami

Terabai?
Pada ku jawapan ialah ya
Setiap detik yang diperuntukkan untuk orang ketiga
Setiap sen yang dihabiskan untuk orang ketiga ini
Itulah masa-masa yang terkumpul suami mengabaikan ku
Sesungguhnya perhatian pada ku sekeluarga boleh dikira


Maaf?
Wujud kah maaf itu, ikhlas kah maaf itu
Seandainya pengucapannya tidak selari dengan niat di hati
Tidak selari dengan perbuatan serta tanpa penyesalan
Tiada perasaan ingin bertaubat di dalm jiwa
Dan sesungguhnya dengan hirisan-hirisan luka di hati ini
Aku dengan rendah diri memohon maaf
Kerana aku masih belum mampu memaafkan kalian
Biar takdir dan waktu penentu segala
Aku redha dan pasrah


Putrajaya
12.03.2011
07.32 am


Wassalam

Wednesday, 9 March 2011

Ya Allah....

Ya Allah....sungguh berat dugaan Mu ini. Tidak ku sangka lepas satu-satu bukti kecurangan Suami diperlihatkan. Ya Allah, kuatkan lah semangat ku untuk menghadapi dugaan mu ini Ya Allah. Terima kasih kepada insan yang masih mengambil berat akan diri ini. Gambar Suami dan perempuan itu yang dititipkan tidak akan saya simpan kerana akan menambah luka di dada. Terkilan...ya, sangat terkilan kerana saya tiada gambar bersama dengan Suami dalam keadaan begitu. Sebagai bukti kepada Suami? Pun x perlu kerana dia akan menidakkan kebenaran. Semakin lama semakin dalam luka ini wahai Suami ku, pedih dan bernanah. Menangis....telah puas, sehingga air mata pun tiada lagi untuk menjengah. Malu & segan? Teramat sangat.


Kepada Suami.....terima kasih. Daripada Isteri Mu


:(


Wassalam

Bersalahkah Saya?

Bila melihat wajah anak saya yang baru berusia 4 bulan, hati menjadi sayu. Terdetik di hati mengapa Suami melakukan perkara seperti ini kepada kami. Adakah kerana saya yang bersalah, tidak memenuhi segala keperluannya, tidak memberikan dorongan dan semangat buatnya atau adakah......Hmmmm...terlampau banyak persoalan bermain-main di benak hati ini. Balasan Tuhan kepada saya mungkin.

Hati menjadi bertambah terkilan dan terluka apabila mengenangkan bahawa Suami sedang berbahagia mengulit cinta menyulam rindu melalui sms atau e-mail dengan perempuan itu. Bahagiakan mereka. Saya? Di mana letaknya nilai saya sebagai seorang isteri dan ibu di hati Suami? Terasa akan diri ini begitu bodoh dan dungu diperlakukan seperti itu. Isteri yang sah tiada hak di sisi Suami tercinta sebaliknya perempuan itu juga yang dikasihi dan dilindungi.

Kadang-kadang terfikir, biarlah keadaan begini asalkan Suami bahagia tetapi sanggupkah saya berterusan begini memendam rasa seorang diri, tiada tempat mengadu dan sentiasa diperlekeh. Pernah sekali saya dapat tahu bahawa Suami pernah menyatakan bahawa perempuan itu melengkapkan hidupnya dan rindunya akan sentiasa ada pada perempuan itu. Betapa hancur luluh hati ini bila teringat akan perkara itu, seperti hancur luluhnya hati ini sewaktu Suami bernikah dengan tunangannya pada Ogos 2006. Jauh di sudut hati saya doakan mereka bahagia dan pada ketika itu saya telah tanamkan tekad untuk berpisah dengan nya, untuk tidak menjadi orang ketiga di dalam rumah tangga nya.

Namun perkara itu tidak dapat saya lunaskan kerana perasaan kasih dan cinta yang teramat sangat pada Suami. Walaupun telah berkahwin pada ketika itu, saya dan Suami sentiasa bersama, apabila ada masa terluang. Hubungan ini lama-kelamaan dihidu oleh isterinya. Teruk saya dimaki dan dihamun. Jalang, betina sundal, pelacur, pantat gatal dan bermacam-macam hinaan terus singgah melalui sms dan panggilan telefon daripada pihak disebelah isterinya. Saya biarkan saja perkara ini berlalu, Suami lah yang banyak menyokong pada ketika itu. Oh...bahagianya ketika itu, Suami amat prihatin dan mengambil berat terhadap saya. Kasih dan sayang jelas kelihatan pada diri Suami.

Bila diingatkan kembali, saya pun ada salahnya. Menjadi orang ketiga di dalam sebuah perkahwinan. Tidak salah bagi Si Isteri untuk marah dan melampias kata-kata begitu kerana dia memang berhak. Seperti saya katakan awal tadi, mungkin ini balasan Allah kepada saya, terus dibayar cash di atas dunia.

Kepada insan yang bernama NorAzian Mohd Zaki, saya memohon maaf  dari atas kepala hingga hujung kaki atas segala perbuatan saya. Saya tahu perbuatan saya ini tidak wajar dimaafkan namun saya pasrah.

Kepada Suami, terlampau banyak memori indah yang terpahat dalam hati ini. Cuma saya sangat rindu akan saat-saat itu. Saya sangat rindu Suami saya.......

Wasalam.

Tuesday, 8 March 2011

Perkenalan yang Tidak Diduga

Situasi yang sedang saya hadapi sekarang mengimbau kembali memori perkenalan dengan Suami. Segala ketidakjujuran oleh Suami adakala menjadikan saya cukup terkilan dan amat tersentuh hati. Masakan tidak, segala pengorbanan selama hampir 6 tahun mengenalinya seperti tidak dihargai, dicampak luput dalam pusat pelupusan sampah. Lebih haru lagi, ketidakjujuran oleh Suami ini berlaku di hadapan mata sendiri selama setahun sebelum dia membuka mulut dan mengaku akan perlakuan nya itu. Lebih ironi nya, perlakuan itu adalah bersama seorang wanita yang sudah bercerai dan mempunyai anak seorang yang bekerja di bawah satu bumbung dengan saya. Ya Allah...besarnya dugaan Mu ini Ya Allah. Aku memohon kekuatan dari Mu Ya Allah, kuatkan la semangat ku dalam menghadapi kehidupan yang telah tersurat bagi ku ini Ya Allah.


Imbauan memori jelas terpancar di dalam kotak ingatan. Perkenalan bermula sewaktu saya dan Suami sama-sama mengikuti kursus yang agak lama jangka masanya. Tidak diduga sama sekali bahawa saya akan bertemu jodoh di kala itu. Suami amat dikenali ramai sepanjang kursus. Aktif dan ligat juga perlakuannya. Comel pun ye jugak. Bermula dengan perasaan benci langsung bertukar menjadi suka dan seterusnya sayang. Tidak diduga saya tak bertepuk sebelah tangan. Kami mempunyai minat yang sama. Kami mula duduk bersama di dalam kelas dan keluar makan berdua. Outing pun ke tempat yang jauh-jauh untuk mengelakkan skandal di kalangan peserta kursus yang lain. 


Kursus makin hampir ke penamat. Dan pada masa itu jugalah saya mendapat tahu bahawa Suami adalah tunangan orang. Lemah longlai dibuatnya. Terdetik di hati untuk berlalu pergi tapi hati dah terlampau sayang, tidak mampu saya laksanakan. Penjelasannya diterima. Tunang nya itu merupakan bos di salah sebuah tempat kerjanya terdahulu namun hatinya belum terbuka untuk berkahwin. Desakan keluarga memaksanya. Suami telah menyatakan hasrat untuk putus tunang berkali-kali tetapi tidak diendahkan oleh keluarga. Alasannya pertunangan telah lama dan asyik bertangguh-tangguh jadi jangan malukan keluarga lagi. Tarikh perkahwinannya telah pun ditetapkan.


Perhubungan dengan Suami diteruskan juga selepas kami habis berkursus. Walaupun tempat kerja berlainan, namun kami tetap berjumpa, walaupun hakikatnya Suami bakal menjadi milik orang lain. Sahabat-sahabat yang mengetahui akan perhubungan ini menasihatkan saya agar berlalu pergi, supaya elakkan diri daripada terluka. Namun dek kerana menurut kata hati, saya benam semua nasihat-nasihat itu.


Kepada Sahabat-Sahabat yang menyayangi diri ini, terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan. Terima kasih kerana sudi menjadi teman tatkala kesusahan, terima kasih banyak-banyak semoga Allah melimpahkan rahmat buat kalian semua.


Kepada Suami, kejujuran dan kesetiaan mu di kala itu amat saya hargai. Tiada lain yang dipinta melainkan sebuah ikatan yang suci dan saling memahami erti kejujuran dan kesetiaan di dalam kehidapan kita bersama.


Wassalam

Permulaan kepada Sebuah Kehidupan

Salam perkenalan kepada sesiapa yang terjumpa dan terbaca entri saya. Terasa kepuasan yang teramat kerana dapat menghasilkan blog sendiri. Tujuan blog ini hanya lah sebagai luahan rasa seorang yang bergelar isteri di dalam mengharungi sebuah kehidupan. Boleh la dikira sebagai catatan kehidupan atau diari.


Penulisan saya ini tiada niat untuk menyinggung perasaan sesiapa cuma ini sajalah medium yang saya ada untuk meluahkan segala isi hati yang terbungkam. Suka duka menangis ketawa di dalam kehidupan seorang isteri. Coretan-coretan ini akan mengingatkan saya kembali saat-saat perkenalan dengan insan bernama Suami sejak lima tahun yang lepas serta halangan-halangan yang perlu dilalui untuk saya bergelar isteri kepada Sang Suami.


Kepada Sang Suami, sekiranya terbaca akan entri-entri di dalam blog ini, harap mengerti dan memahami gelodak di jiwa.

Salam perkenalan sekali lagi. Wassalam